Thursday, 3 January 2013

Bukan puteri lindungan bulan-Auto-Imune Disease : Rhumatoid Arthritis, Haemangioma, Major depresion dan Fibromyalgia




“Rahsia ini telah lama aku pendamkan.

Tiba masanya segala-galanya kuceritakan.”




Membuai jiwa, mengusik kalbu. Lantas aku menutup radio. Tidak mahu dibelenggu tangis lagi. Aku merenung jauh. Disisiku Tisya jantung hatiku masih lena dibuai mimpi. Dia bukan anak kandungku tapi kasihku kepadanya sangat mendalam.


Pesakit bersama dengan anak bongsunya


Memori silam kembali lagi. Aku bukan seorang puteri. Juga bukan puteri lindungan bulan. Aku adalah seorang pesakit auto-imun. Aku menghidapi “Rhumatoid Arthritis, Haemangioma, Major depresion dan Fibromyalgia”. Selalu jua terbelit lidahku apabila diminta perjelaskan. Aku tersenyum sendirian.



Bermula setelah abah pergi, tinggallah aku seorang diri. Meratapi apa yang sudah pasti. Sedari kecil aku telahpun disibukkan dengan kerja-kerja rumah. Maklumlah keluarga sangat besar. Empat belas orang adik beradik semuanya. Ibu pula tidak berapa sihat. Dan keadaaan itu berlarutan sehinggalah aku menjejakkan kaki ke kolej.



Namun, langit tidak selalunya cerah. Hujan turun di tengah hari. Kakak kesayanganku pula meninggal dunia ketika aku berusia 15 tahun. Suatu hari, tiba-tiba dia diserang sawan. “Mak, Kak Su pengsan mak!” Rupanya dia menghidapi sakit buah pinggang tahap akhir. Maka akulah yang bertungkus lumus menjaganya selama 9 bulan. Siang bersekolah, dan malam ke hospital. Pahit juga kurasakan. Pernah juga aku dikejari pengawal keselamatan di hospital. Tapi, semua itu hanya tinggal kenangan. Dan aku merinduimu Kak Su!



Kemudiannya aku menjejakkan kaki ke kolej. Namun, kehidupan disitu tidaklah seindah mana. Tatkala anak-anak muda menikmati hidup mereka, aku pula berdepan dengan hari-hari yang penuh getir. Seperti si buta kehilangan tongkatnya. Orang lain sibuk perpacaran, aku pula menanggung sakit di badan.



Akulah pelajar yang paling tua di Kolej Profesional Mara Melaka. Aku tidak bisa menumpukan perhatian sepenuhnya di kelas. Saat itu, aku seringkali pening dan waktu malam pula amat sukar untuk tidur. Kuku jariku seringkali sengal-sengal.



Masih jelas di ingatanku waktu itu adalah minggu terakhir dan semester terakhir di kolej. Sekali lagi aku diuji. Emak sakit tenat. Aku bergegas pulang ke Kuala Lumpur. 6 bulan berlalu dan selama itulah aku setia disisi emak yang diserang angin ahmar. Tapi keadaan emak makin parah. Pada Julai 2002, emak diserang angin ahmar untuk kali keduanya. Kesannya emak menghidapi ‘backsore’ yang amat teruk dan aku menguruskan sendiri segala proses perubatan itu.



“Saya ada sesuatu untuk kamu.” Aku tergamam sebentar. Sekeping risalah diserahkan padaku. Aku melihat tajuknya. ‘Cara-cara menghadapi pesakit peringkat akhir’ dan penerangan tentang apa yang perlu dilakukan jika berlaku kematian di rumah. “Ibu kamu sebenarnya mengalami ‘slowly dying process’. Kamu perlu bersedia.” Aku tersentak. Kenapa baru sekarang aku diberitahu? Ya Allah, tabahkanlah hati hambamu ini. Namun, ibu tetap pergi jua pada 16 Februari 2007. Tuhan lebih sayangkannya. Aku akur.



Setelah pemergian ibu, aku menjalani 3 pembedahan awal di bahagian tapak kaki. Punca nya, kedua-dua belah tumit kakiku retak tanpa sebab yang pasti dan tepat. Syukur, pembedahan berjalan lancar seiring dengan proses pemulihan yang telah mengambil masa agak lama.

Aku telah menjalani tiga pembedahan iaitu :


Pembedahan pertama : 'excision of calcaneal spur at left heel ' pada 28 April 2008.

Pembedahan kedua : 'Right tarsal tunnel syndrom release  pada 28 Oktober 2008
Pembedahan ketiga : 'Excision of calcaneal spur at right heel pada 17 Feb 2009
    


Tetapi, terdapat kesan sampingannya. Antaranya ialah  fallen arches, flat footed, plantarfaciatis, hugland tendonitis deformity, tarsal tunnel, carpal tunnel dan heamangioma dan burst blood vessel. Terus terang aku katakan kondisiku sudah kompleks ketika itu.


Yang peliknya aku mula ketagihan ‘morphine’. Ya, ‘morphine’ sejenis dadah yang bukan calang-calang hebatnya! Jika boleh, mahu sahaja aku tidur selama-lamanya. Supaya lesap semua lara yang membuku di dada. Lalu segala persoalan pun terjawab. Rupa-rupanya aku mengalami ‘chemical imbalance’ pada otak sebelah kiri. Keadaan juga semakin kronik apabila salur darah kedua-dua belah tangan aku mulai sempit.



Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Setelah itu barulah aku ketahui aku punya sakit auto-imun. Tanda-tanda lain tentang sakitku ini ialah dua minggu sebelum kedatangan haid adalah merupakan waktu yang paling menyeksakan. Bahagian belikat dan otot di bahagian tengkorak akan mula mengeras dan berbuku-buku.

Aku juga tidak boleh penat. Jika tidak muka aku akan pucat, jari-jari kakiku akan membulat. Malah kedua-dua kaki dari buku lali ke bawah akan kemerah-merahan. Renjatan elektrik juga kerap terasa di kedua-dua belah tangan.

Setiap kali bangun dari tidur badanku sering sahaja sakit-sakit. Semuanya kebas-kebas sehinggakan aku pun tidak tahu mana satu anggota badanku. “Ya Allah!” Aku mengerang kesakitan. Dan sakit itu hanya Tuhan sahaja yang tahu.


Aku pernah cuba mendapatkan pendapat kedua dari doktor lain. Ada besar kemungkinan penyakitku ini boleh menyebabkan aku menghidapi sejenis penyakit lagi yang dipanggil Systemic Lupus Erythematosus. Aku tidak tahu. Sesungguhnya aku sangat buntu.

Aku tidak mahu sakit begini. Apa salahku? Malah dahulu pernah jua aku berangan-angan ingin menjadi doktor. Tapi, Tuhan lebih mengetahui segalanya. Semuanya telah diatur. Setiap hari bangun dari tidur, aku selalu berharap segala yang telah aku tempuh selama ini hanyalah mimpi. Tapi kenyataannya aku masih di sini. Masih berada di alam nyata. Dugaan jua kunjung tiba.






Terlalu bnyak kepayahan dan ranjau dugaan Allah yang telah aku
tempuh……………….. ……………….. ……………….. …….. !!!
Bagi  aku , sabar  itu pengorbanan , dan pengorbanan itu sabar. Jadi,..
aku  hanya  perlu bersabar  , sabar , dan terus  bersabar .
Nasib  lah prinsip hidup aku mudah .. ehehe ..Tak perlu menyesal pada masa
lalu, apalagi meratapi....

                                                                                       -Catatan asal pesakit-


Aku kembali melihat Tisya disisi. Aku tersenyum sendirian Anak kecil ini juga punya sakit. Sakit bipolar. Kadangkala aku terfikir jua. Adakah memang sudah takdirku untuk menjaga orang sakit? Tapi aku redha dengan apa yang berlaku. Aku melihat ke jendela. Melihat ke hadapan. Yang masih samar-samar untukku.




 
Gambar pesakit ketika menyertai program dengan Unit Psikiatrik HUKM di Sg. Besar.

nurnilam_sari87







3 comments:

  1. "Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul"
    "Apabila Allah menetapkan suatu takdir..maka yang paling dicintaiNya adalah redha akan takdirNya.."
    dan itulah keistimewaan pesakit ini...iaitu dicintai Allah..masyaAllah..

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete