"Alhamdulilah!" Berteriak dua orang pasangan muda.
Masing-masing gembira menyambut kelahiran bayi mereka."Comelnya!" Syukur ke hadrat Ilahi.
Lalu pulanglah mereka. Membawa seribu harapan untuk anak kecil ini. Bayi sulung mereka. Dijaga dengan penuh kasih sayang.
Tapi, mereka terperasan sesuatu. Ketika bayi mereka berumur dua tahun lebih, anak mereka itu masih jua tidak boleh berjalan.
"Kenapa anak saya masih tidak boleh berjalan doktor?" Doktor terdiam sebentar. "Sebenarnya anak awak mengalami suatu penyakit yang dipanggil 'spina bifida'." Pasangan ini tergamam. Buntu.
"Kisah aku."
Itulah permulaannya. Aku nukilkan diari ini kerana aku tidak mahu bersedih. Meyaksi mekar kembang pagi secara bersendirian. Oh Tuhan, hanya padamu aku mengadu. Aku pun mahu berlari laju seperti anak-anak lain. Ligat bermain tanpa tongkat. Tapi aku tahu, itu semua sukar.
Aku pernah mencuba untuk perbaiki keadaan. Ketika itu usiaku baru menginjak 11 tahun. Pembedahan itu gagal. Aku pun sedih. Kaki kananku tempang sedikit. Bukan itu sahaja. Tapak kaki aku juga terganggu. Tidak normal seperti yang lain. Aku tidak bisa berjalan seperti biasa. Perlukan tongkat.
Aku menoleh ke tepi. Terlihat gambar scan tulang badanku. Sayu. Tapi aku teruskan juga menulis...
![]() |
| Koleksi peribadi pesakit |
Sedih? Memanglah
sedih. Ditambah pula kerna penyakitku ini, pundi kencingku terganggu.
Aku perlu menggunakan 'catheter'. Usus aku juga tidak mampu berfungsi
dengan baik. Menangis adalah ubat dikala duka. Kalau ditadah
sekalipun, aku rasa mungkin cukup sebaldi.
Ya Allah, aku sayangkanMu! Tiap kali tiba Ramadhan, aku rasa kerugian yang amat sangat. Aku mahu terawih di masjid juga! Tapi, tiap kali usai solat, terasa sakit yang amat sangat. Duniaku seperti berputar. Rasa bagaikan sesuatu menarik uratku di belakang kepala.
Tapi Engkau tidak pernah lupa Tuhan. Malah Engkau masih kabulkan doaku. Lalu aku pun menginjak kakiku ke menara gading. Alhamdulilah, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia inilah aku mendapat kekuatan. Malah, aku telahpun harungi pelbagai ranjau dengan tabah. Disini. Ya, disini!
Masih jelas dalam ingatanku ketika aku di tahun kedua. Aku telah dimasukkan ke hospital kerana bisul. Aku mengalami demam yang teruk dan muntah-muntah. Petang itu juga aku dibawa ke hospital Selayang. Tapi keesokan harinya abah dan mama nekad membawa aku balik ke Singapura sebaik tiba di Kuala Lumpur pada malam itu.
Akibat daripada episod itu, aku terpaksa mengambil 'study leave'. Masakan tidak, aku perlu memcuci luka bisul dan melakukan 'dressing'.
Jadi aku menetapkan pendirian untuk bercuti sebentar. Ya, aku tidak
mampu menumpukan perhatian di dalam kuliah. Aku perlu sembuh dahulu. Aku
yakin itu.
Kalau
diikutkan hati mahu saja aku menjerit. Mengapa aku Tuhan! Mangapa tidak
dia. Ya, dia yang selalu mengutukku. Banyak kali aku disindir. Hanya
kerna aku berbeda? Pak cik guard di hostelku itu pernah berkata, "Ko tak pergi urut ke? Nanti nak kahwin susah tu!"
Apakah
dia buta ya Allah? Perlukah aku perjelaskan lagi? Tuhan, hatiku acap
kali merintih. Jika aku meraung sekalipun, tidak akan mengubah keadaan.
Mengapa ini semua terjadi? Tidak ku pinta cacat begini.
Air mataku mula membasahi pipi. Jatuh setitis demi setitis ke atas helaian kertas. Aku teruskan juga. Menulis lagi....
Tak
sanggup lagi rasanya aku melihat diriku di cermin. Ada suatu hari
adikku pernah mengambil video. Dan ternampaklah di situ aku berjalan. Oh
tidak! Ia adalah suatu perasaan yang tidak enak. Sedari itu, aku cuba
elakkan melihat diriku ketika berjalan. Aku cuma mahu begini. Seperti
biasa.
Aku tahu aku
mungkin kelainan upaya dari yang lain. Tapi aku sentiasa yakin aku punya
semangat kental. Masakan aku dapat bertahan hingga kini? Prinsip aku
hanya satu. Apa yang terjadi sekalipun, senyumlah! Aku pasti yang
terjadi ini sudah ditentukanMu. Pasti Engkau menjanjikan sesuatu yang
lebih bermakna buatku. Sesuatu yang lebih sempurna dan abadi. Dan aku
tidak sendiri. Aku tahu itu. Hidup ini disinari oleh sayangMu Tuhan. Ya
Allah, I love you more than words can say!
Aku mengintai ke luar jendela. Malam itu tenang sungguh. Setenang hatiku. Kemudian aku sisipkan diariku di bawah bantal. Cuba melelapkan mataku. Untuk melupakan segala yang pahit. Dan biarkan ianya berlalu pergi....
nurnilam_sari87


