Ilham untuk menulis ini tidak datang dengan sendiri. Malah, seringkali jua diri ini terjatuh. Namun, tidak akanku tersungkur. Dugaan dan ranjau yang mendatang seringkali membantutkan hasrat dan cita-citaku, tetapi niat itu yang menyongsong maju menempuh cabaran.
Perjalanan hidupku dihiasi dengan pelbagai cerita.
Ada yang suka, dan ada yang duka. Telah ramai kutemui, Banyak juga
ragamnya. Tetapi, apa yang ingin dikongsi ialah pelbagai penyakit
yang telah diturunkan Allah kepada manusia.
Hidup ini adalah suatu misteri. Bagi yang pintar pasti terlintas di fikiran akan erti hidup sebenar. Berhenti sebentar. Renunglah sejenak ke dalam jiwamu. Apa yang akan mungkin terjadi selepas ini. Acap kali aku terfikir. Apakah nasibku di sana nanti. Baikkah atau tidak?
Dunia seringkali mengheretku agar lebih jauh daripada-Nya. Dan sesungguhnya manusia itu amat lemah. Jika diberi peta sekalipun, kebanyakkan kita pasti sesat. Cuba menafsir, tapi tafsiran itu masih kurang tepat!
Aku ingin mengambil sedikit kesempatan dalam meluahkan apa yang
tersirat di hati. Daripada pengamatanku, tanah tumpah darahku ini cukup
bertuah. Kita dilimpahi dengan segala kemudahan. Namun, segelintir daripada kita masih mempunyai sedikit prasangka
pada mereka yang kelainan upaya ataupun sakit. Golongan ini kadangkala dianggap
‘terlalu istimewa’ sehinggakan mereka seperti orang asing di khalayak ramai. Masih
teringat aku sewaktu menimba ilmu di menara gading dahulu. Ada seorang pelajar
lelaki yang berkerusi roda. Tapi, dapatlah dikira dengan jari sahaja berapa
ramai daripada kita yang akan menyapanya untuk bertanya khabar
sekurang-kurangnya. Apakah yang mungkin kita rasa jika kita pula yang berada di
tempatnya? Lopang di situ.
| Apa yang anda akan lakukan jika bertemu dengan orang berpenyakit sebegini? | -Jabal Rahmah 2011- |
Kemudahan bagi mereka yang sakit juga tidak banyak. Pergerakan mereka juga terbatas. Malah, mereka mungkin dianggap perlu ‘bertapa’ di rumah sahaja. Ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang sihat bagi perkembangan dan perjalanan hidup mereka. Lopang di situ.
Masyarakat juga masih kurang terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan sosial
bagi pesakit-pesakit. Jika ada sekalipun, persatuan-persatuan dipenuhi dengan
orang-orang yang senasib. Pada firasatku, orang sihat juga perlu tampil
melibatkan diri secara lebih aktif dalam persatuan sebegini atau mana-mana badan-badan NGO supaya aura positif dapat disebarkan. Jadi,
mereka yang berpenyakit tidaklah merasa seperti terkebelakang, atau hiba.
Lopang di situ.
Mungkin anda boleh mulakan langkah dengan melayari laman web ini.
Mungkin anda boleh mulakan langkah dengan melayari laman web ini.
Risau
yang menjalar ini bukan terbit secara sendiri. Malah, menurut buku hasil
nukilan Prof. Dr. Muhaya Mohamad dan Bahruddin Bekri, ‘Padanya Ada Hikmah’,
turut menyarankan supaya NGO Islam memainkan peranan mereka. Sewajarnya, patut
ada usaha yang dilakukan oleh badan-badan sebegini untuk mendekati
pesakit-pesakit dan berdakwah ketika mereka berada di hospital. Inilah saat
getir pesakit kerana mereka berada di persimpangan dan mungkin hilang
pertimbangan waras. Lopang di situ.
Apa yang cuba diutarakan adalah berdasarkan pengalaman hidup. Cabarannya amat getir. Malah, sebagai pesakit kita mungkin mempersoalkan qada’ dan qadar yang berlaku. Bukan mudah untuk mengawal pemikiran tersebut. Masih kurang kesedaran di kalangan masyarakat untuk bersama-sama mengingatkan pesakit supaya mengingati Tuhan seperti sembahyang lima waktu. Sedangkan ini pun sukar untuk dilaksanakan, apatah lagi untuk menunaikan solat tepat pada waktunya. Peringatan padaku juga. Lopang di situ.
| Hidup perlu berpaksikan Tuhan yang satu. |
Mudahan-mudahan apa yang dikongsi dapat dimanfaatkan secara bersama. Supaya kita menjadi lebih baik daripada semalam. Hidup ini perlu dilimpahi dengan berkat dan rahmat daripada Allah. Dan bukannya hidup yang jalannya sama sahaja tanpa diterangi cahaya. Setiap fasa dan perubahan dalam hidup perlu diisi dan dihiasi dengan sesuatu. Maka, tampilkanlah dirimu, dan berbaktilah kepada masyarakat. Bukan hanya mengaut emas di tangan. Ini kerana setiap harta yang diperoleh itu, pasti terdapat hak yang lain padanya. Selamat membaca.
"Wealth has to circulate. When you make money, you have to give it away."
Syed Mohktar Albukhary, A Biography
nurnilam_sari87

Komen dari seorang abang...
ReplyDeleteNukilan mu ini membuatkan ku termenung sejenak...
Selama ini ku hanya memikir HAK aku dimata masyarakat..apa yg aku perlu "achieve" dalam hidup ini...
Tp jarang sekali ku terfikir...apakah sumbanganku kepada masyarakat...especially kepadamu adikku yg asyik dok menagis kat umah tu :P
haha tu la pasai...dok kalut cari duit sgt...lain kali slalu2 laa belanja p tgk wayang naa.. :p
Delete